1990-1991 : Kemasukan Ameng & Album Pertama Spring Spring_(kugiran)

Ketika proses rakaman album pertama Spring dijalankan, mereka menerima ujian getir apabila vokalisnya, Amat meninggalkan kumpulan ini kerana tidak menepati kriteria yang diinginkan oleh pihak pengurusan. Ini telah memaksa Spring untuk menangguhkan seketika kerja-kerja rakaman untuk memberi ruang untuk mereka mencari vokalis baharu. Dalam usaha Spring untuk mencari vokalis baharu, mereka telah berkelana ke merata-rata tempat, antara Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Perak dan juga Terengganu.

Setelah beberapa bulan merantau, akhirnya mereka bertemu dengan seorang pemuda yang berasal dari Besut, Terengganu iaitu Wan Aminuddin bin Wan Ismail atau dikenali sebagai Ameng yang ketika itu hendak mencari tapak dalam industri muzik tanahair. Sejak itu, Ameng telah dipilih sebagai vokalis Spring yang baharu dan Spring akhirnya kembali memasuki studio rakaman untuk meneruskan rakaman album pertama yang tertangguh sejak sekian lama.

Pada tahun 1991, Spring telah mengeluarkan album pertama yang berjudul Spring di bawah label Sony Music Malaysia. Album yang berkonsep rock kapak ini telah memperkenalkan nama mereka dengan single yang berjudul Sejiwa (ciptaan Adi Jagat & lirik oleh Azida N.S.). Sayangnya, album pertama Spring ini mendapat sambutan yang kurang memberangsangkan apabila terjual sebanyak 25,000 unit sahaja ekoran persaingan dengan kumpulan-kumpulan rock lain yang sudah mencipta nama pada ketika itu. Namun Spring tidak mudah mengalah, sebaliknya mereka diberi peluang kedua oleh Sony Music untuk memulakan proses rakaman untuk album kedua Spring pada tahun 1992.